GEORGE TOWN – “Depa (mereka) yang bentuk perjalanan hidup saya, ajar menulis, membaca, berpantun, berbahasa, sampai saya jadi orang pada hari ini”.
Demikian menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menerusi hantaran beserta beberapa gambar di Facebooknya, sempena sambutan Hari Guru, baru-baru ini.
Menurut Steven, pada tahun ini beliau berpeluang meraikan majlis Hari Guru bersama bekas guru-gurunya dari Sekolah Rendah Stowell dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam.
“Lama dah tak jumpa, tapi muka cikgu-cikgu semua masih segar dalam ingatan. Saya ingat lagi cikgu Bahasa Melayu pertama masa darjah 1, Puan Zaniyah.
“Cara dia ajar saya baca, tulis, sampai saya boleh kuasai bahasa Melayu. Lagi seorang, cikgu Idrus, abang kepada PMX kita yang jadi Guru Besar masa saya di Stowell.
“Setiap kali lalu depan pejabat dia, saya dok elak nak bertembung. Elak punya elak, sekali tu terserempak jugak, kena tarik sideburn (jambang) sebab rambut panjang sikit,” ujarnya di sini, hari ini.
Menerusi hantaran itu juga, Steven turut menyenaraikan nama bekas guru-gurunya dari darjah satu hinggalah ke tingkatan enam meskipun lebih 30 tahun mereka tidak bertemu.
“Saya nak ucap setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua cikgu-cikgu lama saya dari Stowell sampai la ke High School Bukit Mertajam.
“Walaupun lebih 30 tahun tak bersua, jasa dan tunjuk ajar cikgu-cikgu semua tetap segar dalam ingatan.
“Tanpa depa (mereka), takdak (tiada) la saya sampai ke tahap ni. Semoga dilimpahkan kesihatan, rahmat dan keberkatan atas setiap jasa cikgu dan semoga pahala mengalir selagi ilmu itu terus diamalkan oleh anak-anak murid,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE














