fbpx
Tangkap layar permohon maaf restoran popular di Indonesia selepas menularkan rakaman CCTV pelancong Malaysia.

[VIDEO] Pelancong Malaysia dituduh tak bayar makanan, restoran popular Indonesia mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita warga Malaysia tidak menyangka kunjungannya ke sebuah restoran popular di Jakarta, Indonesia bertukar menjadi pengalaman pahit apabila dia bersama rombongannya dituduh tidak membayar makanan sehingga ditularkan premis berkenaan di media sosial.

Menerusi hantaran tular di akaun Thread Norain Mohd Yunus, dia memuat naik cerita tersebut bukan untuk memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa menyimpan resit pembayaran ketika berada di luar negara.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mereka singgah makan di restoran popular tersebut sebelum meneruskan perjalanan menaiki kereta api laju Whoosh ke Bandung pada 13 Mei lalu.

Katanya, mereka mengambil sembilan lauk dan jumlah keseluruhan bil mencecah Rp907,500 (kira-kira RM260).

“Semua okey sehinggalah 16 Mei ketika kami hendak keluar dari hotel di Jakarta sebelum pulang ke Malaysia, tiba-tiba pemandu pelancong bertanya mana resit makan di restoran tersebut.

“Dia beritahu pihak pengurusan restoran sudah menularkan satu rakaman televisyen litar tertutup kononnya kami tidak membuat bayaran,” katanya.

Wanita itu berkata, mereka terkejut dengan tuduhan tersebut kerana mendakwa bayaran telah dibuat menggunakan kad bank pada hari kejadian.

Menurutnya, mereka kemudian mencari semula resit pembayaran dan pada masa sama mengambil tangkap layar bukti transaksi kad untuk diserahkan kepada ejen pelancongan sebagai pengesahan.

“Kami memang bayar, cuma masa makan hari itu ada bergurau kononnya nak ‘lari’ sebab nak suruh seorang kawan bayar dahulu. Bukan kami betul-betul tak bayar.

“Lepas selongkar beg, baru jumpa resit tu. Bayangkan kalau kitorang bayar tunai dan resit tak jumpa. Memang tak ada bukti langsung. Ingat kami tak ada iman ke makan sampai tak nak bayar. Jadi darah daging tau tak,” katanya.

Tambahnya, pihak restoran kemudiannya mengakui berlaku salah faham selepas bukti pembayaran diberikan.

Malah, restoran berkenaan turut mengeluarkan surat klarifikasi dan permohonan maaf kepada pihak ejen pelancongan susulan insiden terbabit.

“Pihak restoran maklum kejadian berlaku disebabkan miskomunikasi dan bukan unsur disengajakan oleh mana-mana pihak.

“Persoalannya kenapa kami yang diorang tuju? Macam mana diorang boleh tuduh macam tu je lepas tiga hari? Apa motif sebenar? Masih menjadi tanda tanya kat kitorang.

“Ejen pelancongan kitorang minta diorang buat permohoman maaf sebab nak bersihkan nama mereka dan nama kitorang sekali. Kang tak pasal-pasal tak lepas imigresen pula nak balik,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mereka menganggap kes itu selesai selepas permohonan maaf dibuat, namun mengakui mungkin tidak akan kembali ke restoran tersebut.

“Kesimpulannya, tolong simpan resit terutama kalau bayar tunai atau berada di luar negara. Kalau tidak, jadi macam kami,” katanya.

Tinjauan di media sosial mendapati ramai berhajat ingin memboikot restoran tersebut, malah warga Indonesia yang meninggalkan komen turut menyarankan kedai makan lain yang lebih sedap serta berbaloi.

“Kasi boikot je restoran ni. Harga dahlah mahal bukanlah sedap mana. Popular sebab ramai Malaysia yang pergi je. Orang Indo pun tak pergi situ,” komen Hajar.

“Pelik kenapa sampai nak tularkan korang. Restoran tak ada sistem nak semak balik sama ada bayaran dah dibuat ke belum ke? Jelas memang salah diorang,” komen Zakil pula. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN