SEBERANG PERAI – Lebih 100 penternak kerang di Kuala Juru, Bukit Mertajam, di sini runsing apabila pencemaran Sungai Juru yang didakwa semakin serius sejak beberapa tahun lalu menyukarkan kehidupan seharian.
Ketua Nelayan Kuala Juru, Wahid Othman berkata, keadaan sungai yang tercemar dipercayai berpunca daripada sisa pembuangan kilang di kawasan berhampiran sekali gus menjejaskan kawasan ternakan kerang seluas 22 hektar yang disediakan kerajaan menerusi Pejabat Daerah.
Menurutnya, daripada lebih 100 penternak sebelum ini, kini hanya beberapa individu masih bertahan meneruskan aktiviti penternakan kerang kerana hasil yang diperoleh semakin tidak menentu.
“Kami bukan sahaja berdepan masalah kerang mati, malah setiap kali turun ke laut, hasil yang dibawa pulang bercampur dengan sampah sarap dan selut busuk. Kadang-kadang ambil masa tiga hingga empat jam untuk dapatkan sekilogram kerang.
“Maknanya, daripada hasil yang diperoleh itu bukan semuanya boleh dijual sebab banyak bercampur sampah,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Kuala Juru di sini, hari ini.
Tambahnya, para penternak juga berdepan kos penyelenggaraan tinggi termasuk pembelian sampan dan enjin yang mencecah kira-kira RM31,000 selain kos mencuci sampan sebanyak RM100 sebulan.
Sementara itu, seorang penternak, Mohd. Helmi Ibrahim, 46, berkata, keadaan pencemaran di kawasan ternakan semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini apabila sampah sarap yang dibawa arus semakin banyak. – KOSMO! ONLINE














