MUAR – Seorang kakitangan bahagian fisioterapi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Temiang, di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.30 petang melibatkan sebuah motosikal jenis Honda ADV 160 dan lori Mitsubishi Fuso.
“Motosikal tersebut ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun manakala lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori berkenaan sedang membelok ke kanan untuk masuk ke persimpangan dari arah Bukit Pasir menghala ke Jalan Temiang.
“Ketika di lokasi kejadian, motosikal tersebut yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan penghadang tayar belakang sebelah kiri lori berkenaan.
“Akibat kemalangan itu penunggang terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan, ujian saringan air kencing serta ujian pernafasan ke atas pemandu terbabit mendapati negatif bahan terlarang.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.-KOSMO! ONLINE














