PETALING JAYA – Jasa, pengorbanan dan dedikasi para guru terus diiktiraf sebagai tunjang pembinaan anak bangsa serta pencorak akhlak, nilai serta ketamadunan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri pernah melalui pengalaman sebagai tenaga pengajar ketika menubuhkan Yayasan Anda Akademik pada awal 1970-an.
Beliau berkata, ketika itu beliau melihat ramai anak muda daripada keluarga susah dan tercicir daripada pendidikan hadir dengan kegelisahan mengenai masa depan mereka.
“Pengalaman itu mengajar saya bahawa tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina keyakinan, mengangkat maruah insan dan menanam harapan serta cita-cita dalam kehidupan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, ketika dunia berdepan cabaran yang semakin kompleks, peranan guru kini menjadi semakin penting dalam membentuk generasi yang memiliki kekuatan akhlak dan jiwa.
“Peranan guru semakin genting dalam membentuk generasi yang memiliki kekuatan akhlak dan jiwa untuk mewarnai ilmu dengan nilai kemanusiaan serta kebijaksanaan, selaras dengan citra Madani. Tanpa nilai dan adab, pembangunan hanya akan melahirkan kemajuan yang kehilangan arah,” katanya.
Tambahnya, beliau turut mendoakan agar seluruh warga pendidik terus dikurniakan kekuatan, kecekalan dan iltizam dalam mendidik anak bangsa demi Malaysia yang lebih maju, sejahtera dan mampan. – KOSMO! ONLINE














