SEPANG – Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan 54 kapal Global Sumud Flotila (GSF) kini berada di Yellow Zone 2, iaitu kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza.
Dalam konteks ini, Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, dalam tempoh beberapa jam akan datang, flotila dijangka memasuki zon berisiko tinggi pada waktu malam yang potensi berlaku pemintasan oleh pihak rejim.
“SNCC menegaskan bahawa pemintasan yang mungkin akan dilakukan oleh pihak rejim bertujuan untuk menyekat keabsahan koridor kemanusiaan maritim yang selama ini sah di bawah klausa UNCLOS.
“Klausa itu membenarkan apa jua bantuan kemanusiaan disalurkan ke tempat yang bergolak, tanpa sekatan.
“Pemintasan ini akan menjadi bukti kukuh salah laku rejim zionis yang akan diheret ke muka pengadilan pada tahap yang tertinggi, dengan kerjasama rangkaian peguam antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar, di sini tadi.
Pada masa sama, SNCC secara rasmi turut melancarkan empat usaha menerusi ‘Sumud Protocol’ sebagai pelan tindakan fasa 1 yang digerakkan bermula fasa akhir misi flotilla menuju ke Gaza.
“SNCC menerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menggerakkan sokongan dan keahlian sekurang-kurangnya 150 Ahli Parlimen Malaysia merentas parti sebagai cerminan keteguhan institusi Parlimen yang berani dan komited membela hal Palestin.
“SNCC mengabsahkan Deklarasi Brussels yang digerakkan oleh Ahli Parlimeb dunia khususnya dari Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Kesatuan Eropah dalam meningkatkan tekanan diplomatik serta ekonomi terhadap rejim susulan pencabulan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Selain itu, SNCC melalui sayap perundangan Centre for Human Rights Research and Advocacy dengan sokongan pihak Kerajaan Malaysia menggerakkan usaha failkan tuntutan kepada Ketua pesuruhjaya Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk pencabulan undang-undang antarabangsa.
“Ia susulan tindakan menculik, menyerang dan merampas bahan bantuan kemanusiaan serta kapal flotila kemanusiaan di perairan antarabangsa oleh pihak rejim pada tahun 2025 dan april lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














