PETALING JAYA – Fenomena awan tebal yang dikenali sebagai garis badai (squall line) dikesan di sekitar Jitra, Kedah pagi tadi mencetuskan rasa cemas dalam kalangan penduduk setempat.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Syedrhman10, beberapa keping gambar menunjukkan awan gelap yang seolah-olah ‘menelan’ ruang udara di kawasan pasar pagi dan stesen minyak sekitar pukul 9 pagi tadi.
“Seram tengok garis badai belah Jitra tadi. Siapa sempat tengok tadi?,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi pengalaman melihat fenomena serupa di lokasi berbeza, termasuk ada yang menyifatkan suasana gelap tersebut seperti berada di dunia lain.
“Patutlah Alor Setar tadi gelap sekali, lepas itu cerah semula. Ingat nak hujan lebat,” ujar @_Ashikinadam.
“Masuk je bawah awan gelap tu rasa macam masuk dimenasi lain,” kata @Alep_Hakimie pula.
Menurut @Mohamad_Redzuan_, dia yang sedang mendaki sebuah gunung terus mempercepatkan langkahnya untuk turun dari bukit yang sedang didaki.
“Dekat atas Telipong tadi, nampak awan macam tu terus berlari turun,” jelasnya.
Fenomena garis badai lazimnya berlaku apabila kumpulan ribut petir membentuk barisan panjang yang membawa angin kencang dan hujan lebat dalam tempoh singkat. – KOSMO! ONLINE














