JITRA – Sebelum ini, ramai warga India menjadikan pekan Changlun sebagai tempat transit sebaik melepasi pemeriksaan di sempadan Malaysia-Thailand, namun kini mereka telah beralih ke Jitra pula sejak beberapa hari lalu.
Stesen Bas Tanah Merah di sini, menjadi tempat mereka berkumpul dengan modus operandi sama seperti di Changlun sebelum meneruskan perjalanan menaiki bas ke destinasi-destinasi lain terutama Kuala Lumpur.
Kehadiran mereka yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an secara berkumpulan itu dikesan penduduk di daerah ini yang melihat mereka berpakaian kemas dengan membawa beg galas serta bagasi besar.
Seorang penduduk, Mohamad Najib, 43, berkata, dia terkejut melihat kira-kira 30 warga India di sekitar Stesen Bas Tanah Merah di sini kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin.
“Saya lihat memang ramai warga India di situ dan waktu itu memang saya sudah tahu tentang isu Changlun dijadikan tempat transit warga India sebelum ke Kuala Lumpur.
“Jadi, saya cuba berbual dengan mereka dan hanya beberapa orang yang faham dan boleh jawab dalam bahasa Inggeris. Saya tanya mereka nak ke mana, mereka hanya jawab TBS (Terminal Bersepadu Selatan) Kuala Lumpur,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, lebih mengejutkan apabila ada yang menjawab mereka datang ke Malaysia untuk bekerja.
“Apabila saya tanya sebab apa datang sini, ada yang jawab working, jadi berdasarkan jawapan itu, ia boleh menimbulkan kecurigaan tentang tujuan sebenar mereka masuk ke sini.
“Saya rasa mereka ini bukan masuk sebagai pelancong, tetapi ada niat lain, tambahan lagi bila melihat bagasi besar yang dibawa,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian pergi berjumpa dengan peniaga di kawasan stesen bas itu dan mereka mendakwa warga India berkenaan akan membeli kad sim baharu sebelum menaiki bas.
“Peniaga di situ beritahu mereka sudah nampak kehadiran warga India ini sejak beberapa hari lalu,” katanya.
Dia berharap pihak berkuasa di sempadan lebih teliti ketika membuat pemeriksaan terhadap kumpulan warga asing terutama dari India bagi mengenal pasti tujuan sebenar kehadiran mereka ke sini.
“Kita bimbang mereka ini masuk dan diambil bekerja untuk jawatan penting seperti juruteknik kerana mungkin ada di antara mereka ini terpelajar,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Suraya Ahmad Zulkefli, 45, berkata, walaupun kumpulan warga India itu masuk secara sah, namun terdapat kebimbangan mereka masuk bukan untuk melancong, sebaliknya bekerja.
“Tempoh hari di Changlun, sekarang ini di Jitra. Kita harap pihak berkuasa dapat bertindak pantas sebelum isu warga asing yang menyalahgunakan pas pelancong ini untuk bekerja menjadi lebih serius.
“Mungkin pihak imigresen dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) boleh bertindak sesuatu dan menjelaskan tentang perkara yang sudah tular ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suara Orang Changlun, Mohd. Zaidi Desa berkata, beliau sudah tidak melihat kelibat warga India di Stesen Bas Changlun dan sekitar pekan itu sejak kira-kira empat hari lalu.
“Mungkin kehadiran mereka ini dah tular di Changlun, jadi mereka ubah strategi ke Jitra pula,” katanya.
Kosmo! pada 3 April lalu melaporkan penduduk dan peniaga di Changlun mendakwa ramai warga India kini menjadikan pekan itu sebagai tempat transit sebaik melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara, sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru.
Kira-kira 90 peratus daripada mereka adalah lelaki berusia 18 hingga 45 tahun yang masuk ke negara ini secara berkumpulan dengan membawa beg galas serta bagasi besar.















