LONDON – Pelumba McLaren, Oscar Piastri diberi amaran supaya tidak terlalu ghairah untuk menerima tawaran pasukan lain yang sedia menjadikannya pelumba No. 1 pasukan berkenaan.
Bekas jurutera Scuderia Ferrari, Rob Smedley mendedahkan bahawa pemandu Formula 1 yang meninggalkan pasukan utama untuk menjadi pemandu nombor satu di pasukan lain jarang berakhir dengan gembira.
Piastri dikait bakal meninggalkan McLaren untuk menyertai Red Bull Racing susulan laporan bahawa pasukan itu bersedia menggunakan Pelab B dengan menjadikan pelumba Australia itu pengganti sekiranya Max Verstappen meninggalkan pasukan itu.
“Jika anda seorang pemandu dalam pasukan utama dan bergelut menentang rakan sepasukan apakah pilihan anda?
“Anda mungkin menjadi pemandu terbaik di sana, tetapi adakah anda sedia meninggalkan pasukan sekarang dan pergi ke pasukan yang lebih lemah yang sebenarnya tiada peluang memenangi kejuaraan dunia?
“Saya telah melihat perkara itu berkali-kali, saya pernah melihat pemandu melakukannya dan saya tidak pernah melihat ia berakhir dengan baik. Saya tidak pernah melihat pemandu itu menjadi lebih gembira,” katanya.
Bekas ketua pasukan Alpine F1 Team, Otmar Szafnauer turut bersetuju dengan pandangan Smedley.
“Biasanya ada tempoh dominasi contohnya enam atau tujuh tahun Mercedes atau empat, lima tahun Red Bull atau zaman Ferrari bersama Michael Schumacher, sekitar sepuluh tahun.
“Jadi dalam tempoh sepuluh tahun itu, jika anda pemandu nombor dua di Ferrari dan berkata, ‘Saya mahu menjadi pemandu nombor satu di tempat lain,’ selama sepuluh tahun itu pasukan yang anda sertai bukanlah pasukan terbaik,” ujarnya. – AGENSI














