SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa untuk makan tengah hari bersama kariah Masjid Sri Sendayan dan orang ramai di Restoran Ombong Salai di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.
Perdana Menteri yang memakai baju Melayu berwarna biru muda, tiba kira-kira pukul 2.20 petang selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Hujan lebat tidak menghalang Anwar meluangkan masa kira-kira 20 minit dan beramah mesra dengan pengunjung di restoran berkenaan.
Beliau dihidangkan dengan sajian masak lemak ikan baung, daging salai, sambal daun tempoyak dan kuih lompang yang disediakan pemilik restoran, Zulkifli Mohd. 53.
“Menteri Besar pun pernah makan di sini, dan apabila Perdana Menteri berkesempatan menjamu selera di sini, secara tidak langsung, kami sangat teruja untuk menyajikan makanan terbaik,” kata Zulkifli.
Turut hadir mengiringi Anwar, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.- KOSMO! ONLINE














