KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuhkan kerjasama strategik yang sedia terjalin dengan Jabatan Peguam Negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kerjasama itu membabitkan kes berskala besar, berprofil tinggi dan berkepentingan umum.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa merujuk kepada Jabatan Peguam Negara selaku pihak berkuasa yang memutuskan tindakan undang-undang ke atas kes disiasat SPRM.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk memimpin, mereformasi dan memperkukuhkan SPRM,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar di pejabatnya di sini, semalam.
Kunjungan hormat ke Jabatan Peguam Negara itu merupakan agensi pertama yang dikunjungi Abd Halim selepas dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 13 Mei lalu.
Sementara itu, Mohd. Dusuki turut merakamkan penghargaan di atas kesudian Abd Halim membuat kunjungan hormat pertamanya ke Jabatan Peguam Negara.
“Jabatan Peguam Negara dan SPRM berpisah tiada. Kerjasama yang terjalin akan diteruskan,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin dan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Dato’ Masri Mohd Daud. – KOSMO! ONLINE














