KUALA LUMPUR – Usahawan tempatan perlu lebih berani meneroka pasaran lebih besar dengan memanfaatkan jaringan strategik serta transformasi digital bagi memastikan perniagaan mampu berkembang ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi Kumpulan KNKV, Datuk Seri Zurainah Musa berkata, keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini bukan alasan untuk usahawan berundur, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk mencari peluang baharu dan memperkukuh daya tahan syarikat.
Katanya, program Seven Mega Growth Strategies 2026 menjadi platform penting menghimpunkan pelbagai syarikat daripada perusahaan sederhana sehingga konglomerat besar bagi membuka ruang kerjasama lebih luas kepada usahawan tempatan.
“Menerusi rangkaian yang betul, syarikat tempatan berpotensi untuk melangkah keluar ke pasaran antarabangsa serta mampu bertahan dalam jangka panjang,” katanya.
Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh dan disertai kira-kira 200 peserta terdiri daripada pakar industri, mentor perniagaan dan pemain ekonomi global.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV, Prof. Adjung Adam Richman serta rakan strategik dari Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), Datuk Wan Azmir Wan Majid.
Zurainah menjelaskan bahawa kolaborasi bersama syarikat besar kini bukan lagi pilihan tetapi keperluan dalam memastikan sesebuah perniagaan terus relevan dan berkembang.
Dalam pada itu, Adam pula melihat Kecerdasan Buatan (AI) dan transformasi digital bakal menjadi faktor utama yang menentukan kelangsungan perniagaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Penggunaan AI tidak harus dilihat sebagai ancaman, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara telus dan bertanggungjawab khususnya dalam penghasilan kandungan pemasaran,” ujarnya.
Seven Mega Growth Strategies 2026 turut menampilkan sesi perkongsian berkaitan pemasaran strategik, pengembangan perniagaan, pengukuhan jenama, kerjasama antarabangsa serta kesiapsiagaan undang-undang dalam perniagaan.














