ALOR SETAR – Seorang pemuda tidak menyangka tabiatnya yang suka membuang puntung rokok akhirnya memakan diri apabila dia ditahan dan diheret ke mahkamah sebelum didenda serta dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM).
Lelaki dikenali Amzar, 20, berkata, selama ini dia menganggap puntung rokok hanya sampah kecil, namun sangkaannya meleset apabila ditahan dalam satu operasi pada 27 Januari lalu.
“Memang saya buang puntung rokok dekat kawasan parkir kereta di Simpang Kuala di sini pada Januari lalu. Waktu itu tong sampah ada, tetapi agak jauh.
“Disebabkan sudah jadi kebiasaan dan tabiat, saya terus buang puntung rokok begitu sahaja sebelum dikenakan notis oleh penguat kuasa,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Program PKM Siri Ke-8 di Taman Rekreasi Gunung Keriang di sini baru-baru ini.
Dia yang tidak bekerja kemudian dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM500 dan PKM selama enam jam dalam tempoh empat bulan.
Katanya, dia melakukan PKM dengan mencuci tandas awam di taman rekreasi itu pada Ahad lalu.
“Memang tidak sangka langsung kena cuci tandas awam hanya kerana buang puntung rokok. Bagaimanapun, saya mengakui kesilapan ini dan akur dengan perintah khidmat masyarakat yang dikenakan, memang penat rupanya cuci tandas.

“Selepas ini memang kena beringatlah, saya tidak akan buang puntung rokok di merata-rata tempat lagi,” katanya yang baru berhenti kerja sebagai jurujual motosikal.
Menurutnya, pengalaman mencuci tandas awam sepanjang menjalani hukuman itu benar-benar memberi pengajaran kepadanya.
Program itu dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebagai hukuman terhadap individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Penguatkuasaan akta berkenaan bermula 1 Januari lalu dan perbuatan membuang puntung rokok di tempat awam menjadi kesalahan paling tinggi direkodkan dengan kira-kira 90 peratus kes.
PKM Siri Ke-8 telah dilaksanakan serentak di Kedah, Melaka, Pahang dan Johor melibatkan keseluruhan 55 pesalah di bawah akta berkenaan.
Di Kedah, seramai 24 pesalah termasuk penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berusia antara 19 hingga 55 tahun menjalani PKM di Taman Rekreasi Gunung Keriang dan Pantai Chenang, Langkawi.














