SABAN malam, Fatima (bukan nama sebenar) hanya mampu menatap siling dan dinding biliknya sambil menahan air mata.
Di sebelah, suaminya, Faizal (bukan nama sebenar) lebih rela memegang telefon pintar daripada ‘menyentuh’ Fatima.
Pada mulanya, perkara tersebut dianggap sekadar tabiat biasa, sebelum bertukar menjadi ‘racun’ hingga memusnahkan rumah tangga yang dibina selama lebih sedekad itu.
Bercerita kepada K-Wanita, Fatima berkata, perubahan suaminya mula disedari selepas limat tahun mereka mendirikan rumah tangga.
Lelaki yang dahulunya penyayang dan rajin melayan keluarga berubah menjadi pendiam, mudah marah serta gemar mengasingkan diri di dalam bilik.
“Pada awalnya, saya fikir dia stres kerja. Tetapi lama-kelamaan dia semakin menjauh daripada saya dan anak-anak. Dia tidak lagi bercakap dengan saya seperti dulu,” katanya.
Lebih menyedihkan, wanita berusia 40 tahun itu mendakwa, Faizal ketagih menonton video lucah sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada dua cahaya mata.
Katanya, setiap malam, suaminya akan berjaga sehingga awal pagi dengan telefon di tangan, manakala hubungan suami isteri semakin dingin dan hambar.
“Kadang-kadang, saya bangun tengah malam dan nampak dia masih menonton video lucah.
“Bila ditegur, dia marah dan kata saya sengaja mencari gaduh serta ganggu privasinya,” ujarnya sayu.
Tambah anak jati Lenggeng, Negeri Sembilan itu, dia pernah cuba membantu suaminya keluar daripada ketagihan tersebut dengan berbincang secara baik.
Dia juga mengajak lelaki itu mendapatkan rawatan serta sesi kaunseling.
Namun, segala usaha itu gagal apabila Faizal didakwa terus mengulangi tabiat lama secara sembunyi-sembunyi.
Malah, ia semakin ketara ketika pandemik Covid-19 apabila banyak masa terluang Faizal di rumah dihabiskan menonton porno.
“Dia boleh duduk berjam-jam dalam tandas atau bilik seorang diri. Anak-anak pun mula bertanya sebab bapa mereka jarang bermain bersama ketika berada di rumah,” katanya.
Lebih mengecewakan, Fatima mengakui suaminya turut ketagih melakukan onani sehingga hubungan intim mereka sebagai pasangan semakin renggang dan hampir tiada langsung.
“Sebagai isteri, saya rasa sangat hina. Saya ada di depan mata, tetapi dia memilih untuk tengok benda lain,” katanya.
Menurut eksekutif kewangan itu, keadaan menjadi semakin buruk apabila suaminya mula bersikap panas baran dan hilang fokus terhadap keluarga.
Dia memberitahu, Faizal pernah beberapa kali berjanji untuk berubah selepas ‘kantoi’ menonton bahan lucah.
Namun, janji tersebut hanya bertahan sementara sebelum dia kembali mengulangi tabiat sama.
“Dia menangis, minta maaf dan peluk anak-anak. Tetapi seminggu dua selepas itu, perkara sama berlaku semula,” katanya.
Fatima berkata, dia bertahan selama bertahun-tahun demi anak-anak kerana tidak mahu mereka membesar tanpa kasih sayang seorang bapa.
Bagaimanapun, kesabarannya semakin ‘menipis’ apabila anak sulung mereka mula menyedari keretakan hubungan ibu dan bapa di rumah itu.
Mereka juga sering melihat Fatima menangis ketika bersendirian di dapur.
“Saya sedar, kalau saya terus bertahan dalam keadaan toksik ini, anak-anak juga akan menderita,” ujarnya.
Kini, selepas lama mempertahankan rumah tangga, Fatima akhirnya memilih untuk berpisah dengan Faizal demi ketenangannya dan anak-anak.
“Bukan sebab saya tidak sayang, tetapi saya sudah terlalu letih menangis meratapi nasib seorang diri,” katanya.














