KLANG – Tindakan seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol memandu secara melawan arus mengundang padah selepas merempuh penunggang motosikal sehingga parah dalam kejadian di Persiaran Kota di sini, hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu menyebabkan mangsa seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20-an tercampak dan mengalami kecederaan di badan serta kaki.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 30-an itu dalam perjalanan dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Shah Alam.
Katanya, kereta itu dipercayai memandu secara melulu dan melawan arus sejauh 3.5 kilometer (km) sebelum merempuh sebuah motosikal yang berada di laluan sama.
“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak dan cedera parah. Lelaki itu menerima rawatan kritikal di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Hasil saringan awal mendapati pemandu kereta dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan ditahan serta-merta untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Majistret Azilah Mat membenarkan suspek direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan.-KOSMO! ONLINE














