fbpx
NUR ASYIKIN (tengah) menerangkan keadaan anaknya Anggun (kanan) kepada Dr. Ying Kim di Bukit Piatu, Melaka semalam. – AMRAN ALI

Kepala Anggun membesar 2 sentimeter setiap bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang ibu tunggal cekal menjaga dua anak perem­puan termasuk Anggun Cempaka Muhd. Sulaiman Adam, 2, yang menghidap hydrocephalus dengan mengambil upah melipat pakaian demi menyara kehidupan mereka.

Nur Asyikin Jaafar, 28, berkata, doktor mengesan keadaan dialami Anggun ketika usia kan­dungan mencecah 35 minggu apabila ukuran lilit kepala bayi menyamai kandungan 39 minggu dan terpaksa menjalani pembedahan kecemasan caesarean.

“Ketika dilahirkan keadaan kepala Anggun kelihatan normal, namun terdapat pengumpulan cecair dalam otak sebelum ukuran lilit kepalanya meningkat kira-kira dua sentimeter setiap bulan sejak berusia tiga bulan.

“Sekarang ukuran lilit kepala Anggun 59 sentimeter (cm), sebelum ini 61 cm tapi berkurang kira-kira dua sentimeter selepas beberapa siri pembedahan.

“Anggun sudah menjalani lima kali pembedahan bagi membuang cecair berkenaan,” ujarnya ketika ditemui bersama wakil Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM), Dr. Khor Ying Kim di Solok Bukit Baru, di sini.

Ujar Nur Asyikin, keadaan Anggun mula memburuk pada Februari 2025 selepas ventriculoperitoneal (VP) shunt digunakan patah dan doktor memaklumkan cecair kotor telah masuk ke bahagian otak, selain terdapat jangkitan kuman dalam darah.

“Selepas kejadian itu, Anggun terus terlantar hingga sekarang. Dia hanya boleh bergerak me­ngiring ke kanan dan ke kiri, ta­ngan kanannya belum dapat berfungsi dan kakinya kini pendek sebelah.

“Anggun kini menggunakan VP shunt bagi mengawal pengumpulan cecair dalam otaknya, doktor di Hospital Tunku Azizah (HTA) mencadangkan programmable shunt, namun kosnya agak tinggi sekitar RM5,000, jadi kami masih cuba ikhtiar untuk dapatkan yang terbaik,” ujarnya.

Dia sebelum ini bekerja sebagai kerani dalam bidang insurans kenderaan dan terpaksa berhenti kerja pada Februari tahun lalu susulan Anggun memerlukan penjagaan sepenuh masa.

“Saya mula ambil upah melipat pakaian pada kadar RM3.90 sekilogram pada November lalu, namun pendapatan ini tidak menentu kerana hanya menerima sekitar satu hingga dua pelanggan sebulan dengan bayaran antara RM50 hingga RM80.

“Saya ada menerima bantuan kira-kira RM500 sebulan daripada bekas suami serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun masih belum mencukupi bagi menampung kos kehidupan dan rawatan Anggun,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan di akaun Maybank 1699 6313 1470 atas penama Nur Asyikin Jaafar atau hubungi di talian 019-6528 674. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN