fbpx
Beberapa mangsa terlibat hadir ke Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Sijil estetik palsu, mangsa rugi RM180,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai lapan mangsa mendakwa kerugian ratusan ribu ringgit selepas dipercayai menerima sijil palsu bagi kursus estetik yang ditawarkan sebuah akademi.

Difahamkan, ada mangsa membelanjakan sehingga RM180,000 untuk mengikuti kursus yang kononnya diiktiraf, namun sijil diterima tidak diiktiraf oleh badan berkaitan.

Seorang mangsa dikenali sebagai Wong berkata, dia tertarik menyertai kursus itu selepas melihat iklan di Facebook.

“Pada mulanya memang nampak meyakinkan dan profesional, sebab itu saya daftar. Setakat ini berhabis RM130,000, namun pihak akademi terus minta bayaran tambahan walaupun saya belum memulakan kursus,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut wanita berusia 30-an itu, pihak akademi turut mendakwa terdapat senarai menunggu panjang bagi kursus estetik berkenaan.

Seorang lagi mangsa, Lee mendakwa, dia mengikuti kelas selama dua tahun sebelum menyedari sijil yang diperoleh adalah palsu.

“Saya sudah membelanjakan lebih RM100,000. Kelas diadakan di hotel dan saya sendiri tidak pernah tahu pejabat sebenar akademi itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, akademi terbabit dipercayai turut menggunakan logo sebuah universiti awam terkenal pada sijil bagi meyakinkan para pelajar.

“Setakat ini lapan mangsa sudah tampil membuat aduan, namun saya percaya ramai lagi belum tampil. Saya difahamkan pihak universiti juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini,” katanya.

Michael Chong berkata, penipuan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian wang ringgit, malah memusnahkan impian mangsa untuk menjadi pakar kecantikan dan estetik bertauliah.

Katanya, orang ramai yang mempunyai pengalaman sama diminta tampil segera bagi membantu siasatan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN