KLANG – Polis sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berkaitan kes seorang pejalan kaki yang maut dirempuh dan tercampak ke longkang sedalam dua meter di Jalan Kapar Batu 5 di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian langgar lari menimpa lelaki warga asing itu pukul 3.30 pagi tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku apabila SUV berwarna hitam dari arah Klang ke Kapar hilang kawalan lalu merempuh mangsa di bahu jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak manakala pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di perut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya hari ini.
Tambah Vijaya, lelaki itu dipercayai warga Bangladesh dan identitinya masih dalam tindakan untuk dikenalpasti.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau balai polis berdekatan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila bahagian belakang pinggangnya terburai selepas dirempuh sebuah kenderaan sehingga tercampak ke dalam longkang itu.
Kejadian dimaklumkan pada pukul 3.23 pagi selepas pihak bomba menerima panggilan berhubung penemuan mangsa berusia lingkungan 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang tersebut. – KOSMO! ONLINE














