KUALA TERENGGANU – Gara-gara melanggar peraturan pengoperasian ditetapkan, sebuah bot nelayan tempatan dan sebuah bot penumpang yang sedang asyik mencandat sotong disita Maritim Malaysia (APMM) melibatkan nilai rampasan RM280,000 pada kelmarin.
Kedua-dua bot tersebut ditahan bot peronda APMM, Perkasa 48 yang sedangkan melakukan rondaan penguatkuasaan di perairan Kuala Terengganu dekat sini pada pukul 10.30 malam.
Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, dua bot yang masing-masing mempunyai enam dan empat kru tersebut ditahan pada kedudukan antara 39.82 kilometer (km) dan 40 km dari muara Sungai Terengganu.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tersebut menggunakan lampu candat berwarna hijau yang tidak dibenarkan selain menukar nakhoda tanpa kebenaran.
“Kedua-dua bot itu juga didapati beroperasi di luar waktu dibenarkan,” katanya di sini hari ini.
Hamiludin berkata, perbuatan tersebut bertentangan dengan syarat ditetapkan dalam Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Beliau berkata, kesemua 10 kru kedua-dua bot tersebut berusia dalam lingkungan 16 dan 59 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kita juga mengambil tindakan merampas kedua-dua bot bersama hasil dan peralatan menangkap sotong yang dianggar bernilai keseluruhan RM280,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE














