WASHINGTON – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyerang Iran awal bulan lalu, kata sumber kepada akhbar Wall Street Journal(WSJ), mendedahkan penglibatan yang sebelum ini tidak diketahui dalam perang di Asia Barat.
Dalam artikel disiarkan semalam, WSJ melaporkan, serangan UAE itu menyasarkan kilang penapis minyak di Pulau Lavan, Iran dan berlaku ‘sekitar waktu’ Presiden Donald Trump ‘mengumumkan gencatan senjata’ selepas kempen serangan udara Amerika Syarikat selama lima minggu.
Washington secara senyap mengalu-alukan serangan UAE dan mana-mana negara Teluk lain yang ingin menyertai perang itu, demikian menurut WSJ memetik sumber yang tidak didedahkan identitinya.
AFP belum dapat mengesahkan secara bebas tentang serangan UAE yang dilaporkan, manakala WSJ pula tidak menyatakan tarikh atau masa tertentu.
Bagaimanapun, pada pagi 8 April lalu, badan penyiar Iran IRIB berkata, ‘serangan peluru berpandu dan dron ke atas UAE dan Kuwait telah berlaku beberapa jam selepas kemudahan minyak Pulau Lavan dibedil’.
Menurut IRIB, loji penapis minyak itu diserang sekitar pukul 10 pagi (waktu Iran).
Pada hari sama dan hanya beberapa jam selepas gencatan senjata berkuat kuasa, UAE melaporkan menjadi sasaran 17 peluru berpandu dan 35 dron Iran. – AFP














