LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta melabel pengadil perlawanan, Chris Kavanagh sebagai individu yang berani kerana mampu membuat keputusan sukar ketika membatalkan jaringan West Ham United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), lewat malam kelmarin.
Pada aksi di Stadium London, Kavanagh mengambil masa yang agak lama untuk meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum membatalkan gol penyerang sensasi West Ham, Callum Wilson sekali gus membolehkan The Gunners melakar kemenangan menang 1-0.
“Saya fikir pengadil cukup berani dan konsisten dengan apa yang mereka katakan sepanjang musim. Kali ini, saya perlu memuji pengadil, sekurang-kurangnya memberikan mereka pilihan untuk membuat keputusan.
“Apabila kamu melihat kepada insiden yang berlaku, saya fikir ia jelas berlaku kesalahan dan gol dibatalkan. Jadi tahniah kepada mereka kerana mampu membuat keputusan besar dalam detik sukar.
“Kali ini saya sedar betapa sukarnya tugas pengadil kerana mereka kita bercakap tentang detik yang akan menentukan sejarah, dimana dua kelab berjuang untuk kelangsungan dan mencapai objektif masing-masing,” kata Arteta.
Jaringan tunggal Leandro Trossard sudah memadai untuk mengesahkan tiga mata buat The Gunners yang kini memiliki kelebihan lima mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City yang akan turun menentang Crystal Palace, awal pagi Khamis nanti.
Selain perlu mengesahkan kemenangan dalam dua perlawanan selepas ini, Arsenal juga berpeluang untuk melengkapkan musim gemilang apabila akan turun ke pentas final Liga Juara-Juara (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG), hujung bulan ini. – AGENSI














