KULIM – Seramai 33 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Al-Muhtadin, Sungai Seluang, Lunas di sini selepas rumah mereka dilanda banjir malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, PPS tersebut dibuka pada pukul 1 pagi tadi bagi menempatkan penduduk terjejas dari Kampung Sungai Seluang Bawah dan Kampung Sungai Seluang Seberang.
Katanya, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 13 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan.
“Dalam kalangan mangsa itu, terdapat empat warga emas lelaki, tiga warga emas perempuan serta seorang wanita orang kurang upaya (OKU),” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian banjir dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan selama kira-kira satu jam setengah dengan intensiti tinggi sehingga mencatatkan bacaan hujan antara 50 hingga 60 milimeter (mm).
“Keadaan itu menyebabkan limpahan air sungai ke kawasan rendah dan beberapa rumah dinaiki air. Mangsa mula bergerak ke PPS sekitar pukul 10.45 malam tadi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














