KUALA LUMPUR – Dua buah bas disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dalam Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) yang dijalankan sekitar ibu negara semalam.
Operasi bermula pukul 8 pagi hingga 12.01 tengah malam itu memberi tumpuan terhadap bas sekolah dan bas pekerja bagi memastikan pengendali mematuhi syarat lesen ditetapkan di bawah Seksyen 22(1) Akta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Menurut JPJ Kuala Lumpur dalam satu kenyataan, beberapa tindakan penguatkuasaan telah diambil termasuk pengeluaran Notis APAD Seksyen 224 terhadap pemilik kenderaan yang didapati melanggar syarat lesen pengendali.
“Selain itu, Notis Sita Seksyen 80(1) dan 81(1) serta Notis Penahanan Dokumen Seksyen 222 turut dikeluarkan.
“Semua tindakan lanjut dan dokumentasi telah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) JPJ,” katanya hari ini.
Katanya, dua bas yang disita telah dibawa ke JPJ Kuala Lumpur untuk tindakan susulan.
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya selain mengekang pengendali kenderaan awam daripada melanggar undang-undang.
“JPJ Kuala Lumpur komited memastikan setiap pengendali kenderaan awam mematuhi syarat lesen yang ditetapkan demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














