BANGKOK – Seorang banduan di Penjara Daerah Thanyaburi, Thailand nekad melarikan diri walaupun hukuman berbaki 23 hari sebelum dia dibebaskan untuk mencari teman wanitanya yang hilang, lapor portal berita Thaiger.
Seksan Ruapthong, 37, disabitkan bersalah kerana mendatangkan kecederaan dan dijadualkan dibebaskan menjelang 30 Mei ini.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan Ruapthong menyelinap keluar semasa sesi latihan vokasional lalu berlari ke kedai kopi di belakang penjara sebelum menaiki sebuah trak pikap jenis Toyota Revo.
Sebagai banduan hukuman ringan yang menanti hari pembebasan, Ruapthong telah disenaraikan untuk mengikuti program latihan luar.
Bapa Ruapthong dikenali sebagai Phan, 78, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak berkuasa.
Dia percaya Ruapthong mengalami tekanan kerana teman wanitanya dilaporkan hilang dan tidak dapat dihubungi.
Selain beban kewangan untuk membayar ansuran kereta, dia turut dibuli sekali gus menjejaskan kesihatan mentalnya. – AGENSI














