GUA MUSANG – Seorang penoreh getah warga Thailand berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di kawasan kebun getah di Kampung Pulai pada bulan lalu.
Tertuduh, Mr. Mapaochi Samae, 46, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki warga Thailand, Mr. Manah Maemoh, 48, di kawasan kebun getah Kampung Pulai, di sini kira-kira pukul 7 malam hingga 11 malam pada 18 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah kemudian menetapkan 26 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Kosmo Online! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga Thailand direman selama tujuh hari bermula 23 April lalu bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang penoreh getah dengan kesan tetakan yang juga rakan senegaranya di kawasan anak air di Kampung Pulai di sini. – KOSMO! ONLINE














