fbpx
Muss berdepan detik sukar apabila isterinya, Suraya Bahari, 53, kini berada dalam keadaan kritikal susulan komplikasi penyakit kencing manis.

Isteri sangat kritikal, saya kena terima kehilangan dia – Muss

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Barbarik, Muss, berdepan detik sukar apabila isterinya, Suraya Bahari, 53, kini berada dalam keadaan kritikal susulan komplikasi penyakit kencing manis sehingga kaki kiri terpaksa dipotong.

Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 58, berkata, keadaan isterinya itu menjadi antara ujian paling berat pernah dilaluinya, apatah lagi pada masa sama dia masih perlu memenuhi komitmen seni, termasuk persiapan Konsert Black On White, Cromok-Barbarik yang akan berlangsung pada 27 Jun ini.

Menurut bekas vokalis kumpulan Wings dan May itu, tekanan yang dihadapi bukan sesuatu yang mudah untuk ditanggung, namun dia memilih untuk terus kuat dan menerima dugaan dengan hati terbuka.

“Memang sangat memberi tekanan, tetapi Alhamdulillah saya masih mampu menerima keadaan ini. Selebihnya saya reda.

“Pada awalnya memang banyak persoalan yang bermain di fikiran, tetapi sampai satu tahap saya serahkan semuanya kepada Allah.

“Kalau Allah kata sudah sampai waktunya untuk mengambil nyawa sekalipun, saya perlu reda. Kalau kita tidak mampu menerima kenyataan, keadaan itu mungkin akan menjadi lebih berat,” katanya ditemui pada sesi latihan Konsert Black On White, Cromok-Barbarik di Uranus Studio, Jalan Ipoh, malam tadi.

Dalam keadaan isterinya yang kritikal, Muss mengakui dia perlu mempersiapkan diri untuk berdepan apa sahaja kemungkinan, termasuk kehilangan insan tersayang atau menerima perubahan besar dalam kehidupan mereka pada masa akan datang.

Apa yang berlaku membuatkan dia sedar bahawa kehidupan yang pernah dirancang mungkin tidak lagi sama seperti sebelum ini.

“Bagi saya, hanya ada dua pilihan. Sama ada menerima kemungkinan kehilangan dia atau menerima perubahan baharu dalam kehidupan.

“Tidak ada lagi kehidupan seperti yang pernah kami rancangkan sebelum ini. Apa yang saya rancang bersama dia mungkin tidak dapat dilakukan lagi dan saya perlu membuat perubahan,” jelasnya.

Pada masa sama, Muss berkata, dia tetap perlu mencari kekuatan untuk menguruskan keadaan isterinya selain meneruskan tanggungjawab bersama Barbarik.

“Saya terpaksa kuat dan tenang untuk mengendalikan situasi dalam kehidupan saya. Dalam masa sama, saya perlu membahagikan tenaga dan fokus untuk Barbarik.

“Cabaran kali ini memang sangat sukar untuk saya hadapi. Alhamdulillah, saya masih mampu bertahan sehingga tahap ini walaupun keadaan isteri saya sekarang boleh dikatakan sangat kritikal,” katanya.

Berkongsi mengenai punca keadaan isterinya menjadi semakin serius, Muss berkata, komplikasi tersebut berpunca daripada penyakit kencing manis.

Jelas Muss, sebelum ini pihaknya sudah berusaha mendapatkan pelbagai alternatif rawatan, namun keadaan menjadi lebih rumit apabila terlalu banyak pandangan dan pilihan yang perlu dipertimbangkan.

“Punca utama adalah kencing manis. Tetapi apabila kita tersilap cara dalam usaha memulihkan atau merawat masalah kencing manis, keadaan boleh menjadi lebih rumit.

“Saya juga sudah mencuba pelbagai cara. Banyak pendapat dan pandangan diberikan kepada saya tentang bagaimana hendak menguruskan perkara itu.

“Namun, apabila terlalu banyak pilihan dan berlaku kesilapan, saya sendiri tidak pasti sama ada kesilapan itu datang daripada saya atau kaedah rawatan yang dicadangkan.

“Sampai sekarang perkara itu masih menjadi tanda tanya kepada saya, sama ada saya yang tersilap atau ada perkara lain yang menyebabkan keadaan menjadi begini,” ujarnya.

Tambah Muss, masalah pada kaki isterinya bermula beberapa bulan lalu sebelum keadaan bertambah buruk akibat jangkitan kuman.

“Sebenarnya masalah kaki dia sudah berlaku sekitar empat hingga lima bulan. Pada awalnya, masalah itu berkaitan saraf yang sempit dan menyebabkan kesakitan sebelum melarat dan kaki kirinya terpaksa dipotong,” katanya.

Difahamkan isterinya terpaksa ditidurkan buat sementara waktu untuk pihak doktor melakukan rawatan.

Sebelum ini, Suraya atau mesra disapa Sue yang menerima rawatan di Hospital Ampang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan pada kaki kiri akibat kencing manis pada 13 Jun lalu. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN