PETALING JAYA – Kertas siasatan berhubung kes kemalangan membabitkan seorang warga emas dan penunggang motosikal yang maut di Jalan 17/21, di sini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) minggu depan bagi keputusan pendakwaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya akan melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
“Kertas siasatan untuk rujuk TPR pada minggu hadapan bagi keputusan pendakwaan,” katanya ringkas dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an yang dipercayai terbabit dalam kemalangan hingga mengorbankan seorang penunggang motosikal dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.
Shamsudin dilaporkan berkata, lelaki berkenaan sebelum itu ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Pada Selasa lalu, seorang penunggang motosikal berusia 20-an maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Proton X70 di Jalan 17/21 di sini.
Siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu berlaku apabila kenderaan dipandu warga emas terbabit hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan awal air kencing dan alkohol terhadap pemandu terbabit didapati negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














