PETALING JAYA – Cadangan meluluskan eksport pasir sungai di Pahang disifatkan wajar diperhalusi oleh Kerajaan Persekutuan kerana berpotensi membantu pengurusan sungai serta mengurangkan risiko banjir di negeri itu.
Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, pandangan dizahirkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berasas kerana Pahang mempunyai rangkaian sungai yang luas dan panjang di Semenanjung Malaysia, sekali gus memerlukan pemantauan serta penyelenggaraan secara konsisten.
Beliau berkata, kerja pengorekan pasir sungai yang dilaksanakan secara terkawal bukan sahaja dapat memperbaiki aliran air, malah berpotensi menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara.
“Apabila berlaku mendapan pasir yang tinggi, aliran sungai boleh menjadi semakin cetek dan ini berpotensi meningkatkan risiko banjir terutama ketika musim hujan.
“Sebab itu titah Tengku Mahkota Pahang ini wajar diperhalusi kerana ia dilihat demi kebaikan rakyat khususnya warga Pahang yang saban tahun berdepan ancaman banjir,” katanya hari ini.
Beliau berkata, pengurusan pasir sungai secara sistematik bukan sahaja merancakkan ekonomi tempatan, malah membantu melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir.
“Sudah pasti semua pihak mahu melihat penyelesaian jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.
“Apa yang penting adalah pelaksanaan dilakukan secara terkawal, telus serta mematuhi aspek alam sekitar,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan, Tengku Hassanal menzahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan Persekutuan yang dilihat mengenepikan hak negeri Pahang termasuk dalam isu larangan eksport pasir ke negara luar.
Baginda bertitah sehubungan itu kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE














