fbpx
Mohd. Uzir (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Program Run, Breath, Nature-Majlis Daerah Jeli Stats Nature Half Marathon 2026 di Padang Istiadat, Jeli hari ini.

Data Banci Ekonomi 2026 penanda aras baharu struktur ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JELI – Pelaksanaan Banci Ekonomi (BE) 2026 yang kini memasuki fasa kedua bakal menjadi penanda aras baharu dalam menilai semula struktur ekonomi termasuk tahun asas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), indeks perindustrian dan indeks jualan negara.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, data yang diperoleh akan menjadi asas utama kepada kerajaan dalam merangka dasar ekonomi serta menilai pencapaian sasaran negara di bawah kerangka Ekonomi Madani.

Katanya, banci tersebut melibatkan kira-kira 1.35 juta pertubuhan perniagaan di seluruh negara merangkumi lima sektor utama iaitu pertanian, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan dan lain-lain aktiviti ekonomi.

“BE 2026 akhirnya akan menjadi angka asas utama rujukan untuk kita menilai semula tahun asas KDNK, indeks perindustrian, indeks jualan dan sebagainya.

“Data itu penting bagi melihat kedudukan ekonomi negara termasuk sasaran untuk berada dalam kelompok 30 ekonomi terbesar dunia,” katanya kepada pemberita di sini selepas Program Run, Breath, Nature-Majlis Daerah Jeli Stats Nature Half Marathon 2026 di Padang Istiadat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir memberitahu, setakat ini, lebih 500,000 pertubuhan telah berjaya diliputi menerusi fasa pertama yang memberi fokus kepada aktiviti ekonomi informal dan perusahaan kecil.

Katanya, fasa pertama meliputi tumpuan kepada aktiviti kecil seperti inap desa, penjaja dan perusahaan mikro.

“Kita sedang bergerak kepada industri dan syarikat berskala sederhana dan besar. Di Kelantan sahaja terdapat kira-kira 60,000 pertubuhan perniagaan yang terlibat dalam banci berkenaan.

“Jabatan Perangkaan menyasarkan data operasi banci dapat diterbitkan pada hujung tahun ini manakala data lengkap yang melalui proses silang dan validasi dijangka dikeluarkan awal tahun hadapan,” ujarnya.

Katanya, data banci itu bukan sahaja digunakan kerajaan pusat, malah akan diterbitkan hingga ke peringkat daerah bagi membantu kementerian, agensi menilai kekuatan dan kelemahan sektor ekonomi setempat.

Menurutnya, maklumat yang dikumpulkan turut membolehkan kerajaan mengukur tahap penyertaan tenaga buruh mahir yang disasarkan sebanyak 35 peratus selain melihat penggunaan digital dalam sektor ekonomi.

“Melalui data ini kerajaan boleh mengenal pasti sektor yang masih ketinggalan dan sektor yang sudah ke hadapan supaya tindakan susulan dapat dilakukan.

“Hasil banci turut memberi manfaat kepada masyarakat dan usahawan yang mahu menceburi bidang perniagaan. Langkah itu penting bagi memastikan limpahan ekonomi negara dapat dirasai secara menyeluruh oleh semua pemain industri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN