JAKARTA – Tiga pendaki terdiri daripada dua rakyat Singapura dan seorang warga tempatan terbunuh dalam letusan Gunung Dukono di Indonesia semalam selepas mereka berada di zon larangan, kata beberapa pegawai.
Letusan di Pulau Halmahera itu menghamburkan awan abu setinggi 10 kilometer di langit.
Seramai 20 pendaki berada di lereng gunung apabila bencana berlaku, kata ketua polis Halmahera Utara, Erlichson Pasaribu kepada pemberita di stesen pemantauan gunung berapi Kampung Mamuya.
Menurutnya, sembilan daripada mereka dari Singapura dan selebihnya warga Indonesia.
Setakat petang semalam, seramai 17 pendaki dengan tujuh daripada mereka warga asing telah ditemui selamat, demikian menurut ketua agensi menyelamat tempatan, Iwan Ramdani.
Pemandu pelancong, Alex Djangu yang berada di lereng gunung ketika letusan berlaku, berkata, dia tiba bersama sekumpulan pelancong kelmarin dan mendapati gunung berapi itu berkelakuan ‘agak pelik’.
“Ini kali pertama saya melihatnya begitu sunyi.
“Saya memberitahu mereka (kumpulan pelancong) bahawa letusan besar akan berlaku kerana gunung berapi itu sedang mengumpul tekanan di dasar kawah. Ramalan saya ternyata benar,” kata Alex melalui telefon dari hotelnya tidak jauh dari gunung berapi tersebut.
Apabila letusan berlaku, terdapat dua kumpulan pelancong atau kira-kira 15 orang kesemuanya, di pinggir kawah, ujar lelaki berusia 48 tahun itu.
“Saya panik, saya fikir mereka semua sudah mati, tetapi ternyata akhirnya hanya tiga yang maut,” tambah pemandu pelancong itu, menyifatkan ini sebagai letusan terbesar Gunung Dukono pernah disaksikannya.
Erlichson pula berkata, mayat tiga pendaki masih berada di atas gunung.
Indonesia kerap mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya di ‘Lingkaran Api’ Pasifik di mana plat tektonik bertembung.
Negara Asia Tenggara itu mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif. – AFP














