fbpx
Keadaan Mohammad Yusof selepas dihempap blok konkrit di depan rumahnya di Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh semalam.

‘Ma jangan marah, saya nak mati dah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan intelektual atau autisme sempat memohon agar ibu tidak memarahinya sebelum maut apabila dia dihempap blok konkrit semasa bermain dan menggali lubang di kawasan pasir di depan rumah di Kampung Dalam Rhu di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Mohamad Yusof meninggal dunia di lokasi kejadian manakala bapa saudaranya, Muhamad Yunus Nasir, 12, dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ibu kepada Mohamad Yusof, Nurul Anis Abdul Rahman, 36, berkata, sebelum kejadian dia berada di dalam rumah sebelum anak perempuannya, Siti Nur Amyliana, 10, memaklumkan bahawa abangnya dihempap blok konkrit.

Menurutnya, dia terus bergegas ke kawasan depan rumahnya sebelum cuba mengangkat sendiri blok konkrit berkenaan, namun gagal kerana binaan tersebut terlalu berat.

“Saya sudah tiada cara lain sebelum terus berlari kira-kira 100 meter untuk meminta pertolongan penduduk kampung.

“Dengan bantuan kira-kira tujuh penduduk kampung, blok konkrit itu berjaya diangkat, namun keadaan Mohammad Yusof ketika itu sudah terlalu lemah dan Muhammad Yunus pula cedera.

“Mohammad Yusof sempat berkata kepada saya ‘Ma jangan marah, saya nak mati dah’. Saya yang sudah menangis hanya mampu memangku dan memeluknya dengan harapan agar dia dapat terus bertahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Anis di sini malam tadi.

Nurul Anis memberitahu, anaknya itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi kejadian sebelum mayat Mohammad Yusof dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk dibedah siasat.

Katanya, Muhammad Yunus dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dekat sini untuk rawatan lanjut.

“Mohammad Yusof merupakan dan Muhammad Yunus merupakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Kebangsaan Dalam Rhu. Mohammad Yusof merupakan OKU kategori ketidakupayaan intelektual atau autisme,” ujarnya.

Nurul Anis berkata, jenazah Mohammad Yusof akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf Berangan di sini selepas urusan bedah siasat selesai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN