NEW DELHI – Dua wanita meninggal dunia digilis tren ketika melintas landasan di sebuah stesen kereta api di negeri Bihar, India, lapor portal berita Must Share News.
Kejadian berlaku sekitar pukul 2.30 petang (waktu tempatan) di Stesen Kereta Api Bakhtiyarpur, baru-baru ini.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dikongsi di media sosial menunjukkan dua wanita terbabit melintas landasan sambil membawa barangan mereka sebelum cuba untuk naik ke platform.
Beberapa orang awam menarik mereka ke atas, manakala sebilangan penumpang menjerit memberi amaran selepas menyedari sebuah kereta api sedang bergerak laju ke arah platform.
Malangnya, kedua-dua wanita itu digilis di antara gerabak kereta api dan platform stesen.
Mangsa dikenal pasti sebagai Intar Devi, 62, dan anak saudaranya, Sangeeta Devi yang berusia 45 tahun.
Laporan tempatan mendedahkan bahawa Intar pergi ke stesen kereta api tersebut untuk menghantar Sangeeta pulang ke rumah.
Anggota Pasukan Perlindungan Kereta Api (RPF) dan Polis Kereta Api Kerajaan (GRP) mengumpul cebisan mayat mangsa, manakala perkhidmatan kereta api disambung semula selepas kira-kira 30 minit.
Pihak berkuasa telah menghantar mayat mangsa untuk bedah siasat. – AGENSI














