fbpx
Gambar hiasan.

Baru Bian mohon batal saman bon RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian memfailkan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh PKR yang menuntut ganti rugi RM10 juta kerana bertindak keluar daripada parti berkenaan selepas memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Permohonan tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan YH Teh & Quek pada 6 April lalu di Mahkamah Tinggi di sini. Mahkamah menetapkan pengurusan kes permohonan itu pada 20 Mei ini secara dalam talian.

Baru Bian merupakan antara 16 bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR telah berhenti daripada terus menjadi ahli PKR selepas dipilih dan telah menzahirkan sokongan kepada gabungan politik selain parti itu.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan, Baru Bian mengakui telah menandatangani Bon pada 25 April 2018.

Namun beliau mendakwa menandatangani Bon berkenaan kerana PKR tidak membenarkannya menjadi calon parti itu pada PRU14 bagi Parlimen Selangau sekiranya tidak berbuat demikian.

Baru Bian menyatakan beliau menandatangani dan melaksanakan Bon berkenaan ketika berada di Sarawak serta turut berada di Bumi Kenyalang itu pada hari penamaan calon pilihan raya itu dan ketika didakwa keluar daripada parti berkenaan.

Tambahnya, ketika Langkah Sheraton berlaku pada 23 Februari 2020, beliau sedang berada di Kuching, Sarawak dan tidak berada di Kuala Lumpur atau Petaling Jaya.

Sehubungan itu, Baru Bian mendakwa, Mahkamah Tinggi Malaya di Semenanjung Malaysia tidak mempunyai sebarang bidang kuasa terhadap dirinya dan sekiranya ada, kausa tindakan tersebut berbangkit di Sarawak.

Atas alasan itu, beliau memohon agar saman tersebut dibatalkan dengan kos ditanggung oleh PKR dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Selain Baru Bian, Ahli-Ahli Palimen yang turut dinamakan dalam saman yang difailkan pada 19 Februari lalu oleh PKR melalui Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh ialah Datuk Kamarudin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal), Datuk Mohd Rashid Hasnon (Ahli Parlimen Batu Pahat), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota) dan Datuk Seri R. Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat) sebagai defendan.

Pada 27 Februari pula, PKR memfailkan saman dengan menamakan bekas ADUN, Abdul Yunus Jamhari, Azman Nasrudin, Afif Bahardin, Chong Fat Full, Dr. Daroyah Alwi, Haniza Mohd. Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim sebagai defendan.

Yunus merupakan Adun Kuala Kurau, Azman (Lunas), Afif (Seberang Jaya), Chong (Pemanis), Daroyah (Sementa), Haniza (Lembah Jaya), Hilman (Gombak Setia), Jailani (Rembia), Ling (Sidam) dan Zulkifli (Sungai Acheh).

Saman serupa pernah difailkan terhadap bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamarudin dan Kerajaan Tempatan pada Oktober 2020.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, PKR menyatakan kesemua calon yang akan bertanding dalam PRU14 perlu menandatangani satu bon.

Menurut klausa operatif Bon, setiap defendan bersetuju untuk membayar RM10 juta dalam tempoh tujuh hari selepas meletakkan jawatan daripada PKR atau menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas selepas menang dalam pilihan raya berkenaan.

Sehubungan itu, PKR antara lain menuntut RM10 juta daripada setiap defendan atau satu jumlah yang difikirkan munasabah, pampasan terhadap nilai dan manfaat yang telah diberikan PKR kepada mereka pada PRU14, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN