KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan Persekutuan yang dilihat mengenepikan hak negeri Pahang termasuk dalam isu larangan eksport pasir ke negara luar.
Baginda bertitah sehubungan itu kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan.
“Saya begitu kecewa apabila kerajaan pusat tidak meluluskan usaha negeri Pahang untuk menambahkan hasil negeri seperti eksport pasir sungai memandangkan negeri Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia yang sudah tentu mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku seterusnya mengelakkan banjir.
“Sebelum ini kita dapat menambahkan hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya kerajaan pusat tidak lagi membenarkannya sekarang ini sedangkan hasil tanah dan pasir ini merupakan hak negeri
“Saya mohon yang berhormat penasihat undang-undang negeri untuk kaji dengan teliti apa tindakan yang boleh kita ambil ke atas kerajaan Persekutuan untuk perkara ini,”titah baginda pada Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Dalam pada itu baginda bertitah kerajaan pusat seharusnya memberikan kuasa dan ruang yang lebih kepada kerajaan negeri apabila melaksanakan satu-satu projek dan mengutamakan syarikat atau kontraktor yang berasal dari Pahang.
Titah baginda meskipun perlantikan kontraktor kelas G7 boleh dibuat kepada mana-mana syarikat dari seluruh Malaysia namun sewajarnya keutamaan diberikan kepada syarikat dari negeri Pahang yang sememannya berkelayakan dan kompeten.
“Sekali lagi saya tegaskan bahawa kerajaan pusat semestinya teliti semula perkara ini, hak negeri Pahang sepatutnya diukembalikan semula kepada negeri Pahang,”ujarnya
Sementara itu baginda bertitah kerajaan pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan negeri Pahang dan lebih mengutamakan negeri Pahang yang merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia.
Katanya, pengorbanan negeri Pahang ini tidak boleh sama sekali diukur dengan nilai sumbangan cukai kepada Persekutuan tetapi cukup signifikan dari segi keseimbangan alam sekitar khususnya di semanjung Malaysia.
“Pahang merupakan antara empat negeri terawal membentuk negeri-negeri Melayu Bersekutu, hasil negeri-negeri bersekutu ketika itu disatukan dan disalurkan kembali mengikut kesesuaian keempat-empat buah negeri dan negeri-negeri bersekutu inilah juga yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia.
“Saya juga berharap kerajaan pusat turut memberikan keutamaan pengorbanan besar negeri Pahang kerana mengekalkan keluasan hutan yang luas, alam flora dan fauna serta gunung-ganang yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem, kawasan tadahan hujan dan biodiversiti di Semenanjung Malaysia,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE














