fbpx
Anggota polis membawa dua suspek untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

[VIDEO] Dua remaja kes tikam gadis 61 kali direman lagi 7 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Dua remaja berusia 19 tahun yang merupakan suspek dalam kes seorang gadis maut 61 tikaman sebelum ditinggalkan di Kampung Simah, Ketereh di sini pada minggu lalu disambung reman tujuh hari.

Majistret Rais Imran Hamid membenarkan lanjutan reman terhadap kedua-dua remaja itu bermula hari ini hingga Khamis depan.

Perintah reman itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira pukul 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang gadis, Nurfisya Zulkifly, 19, dibunuh dengan 61 tikaman sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini pada 1 Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati, ada sebanyak 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan.

Sehubungan itu, empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas direman bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid sebelum ini membenarkan dua remaja berusia 19 tahun masing-masing menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga hari ini.

Pasangan suami isteri berusia 66 tahun dan 60 tahun yang ditahan reman selama tiga hari bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN