KULIM – Tindakan seorang wanita yang disyaki menjalankan operasi van sekolah secara haram terbongkar apabila dia ditahan di Lebuhraya Perdana, di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, van dipandu wanita berusia 42 tahun itu ditahan penguat kuasa JPJ Cawangan Kulim kira-kira pukul 2.40 petang.
Katanya, ketika ditahan, van yang didaftarkan sebagai kenderaan persendirian itu didapati membawa seramai 16 pelajar sekolah.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan melakukan beberapa kesalahan serius termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sah.
“Lebih mengejutkan, kenderaan tersebut disalahgunakan untuk membawa pelajar seperti perkhidmatan van sekolah tanpa kelulusan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, van tersebut turut didapati membawa penumpang melebihi had dibenarkan iaitu hanya 12 orang.
“Keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik turut menimbulkan risiko keselamatan kepada penumpang,” ujarnya.
Susulan itu, katanya, pihak JPJ mengambil tindakan tegas dengan menyita kenderaan berkenaan sebelum dibawa ke depoh untuk siasatan lanjut.
“Perkhidmatan van sekolah tanpa kelulusan itu disyaki dijalankan sejak awal tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, pemandu terbabit dilepaskan sejurus proses saman dan penyitaan kenderaan selesai dijalankan di JPJ Kulim.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 23, Seksyen 23(2) dan Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan LKM tamat tempoh, salah guna LKM dan tiada perlindungan insurans.
“Siasatan juga dibuat di bawah Kaedah 90A dan 94 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959 kerana membawa penumpang melebihi had kapasiti serta gagal menyelenggara kenderaan,” jelasnya.
Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan kenderaan persendirian bagi tujuan komersial tanpa kebenaran selain memastikan LKM dan insurans sentiasa sah demi keselamatan semua.
“Kalangan ibu bapa juga dinasihatkan supaya memastikan perkhidmatan van sekolah yang digunakan adalah berdaftar demi keselamatan anak-anak kerana nyawa tiada ganti,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














