MIAMI – Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff memberi amaran keras agar Formula Satu (F1) tidak mengorbankan elemen elektrifikasi meskipun wujud cadangan untuk mengembalikan enjin V8.
Perbincangan mengenai kemungkinan penggunaan semula enjin V8 mula hangat diperkatakan selepas Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem memberi bayangan perubahan besar menjelang 2030 atau 2031.
Cadangan itu disambut baik sebahagian peminat yang merindui bunyi garang enjin V8, namun Wolff menegaskan F1 tidak boleh ketinggalan daripada arus perkembangan dunia automotif moden.
“Saya fikir dari sudut Mercedes, kami terbuka kepada peraturan enjin baharu. Kami sukakan V8 kerana ia membawa banyak kenangan hebat,” katanya.
Bagaimanapun, Wolff menegaskan sebarang perubahan perlu mengambil kira realiti semasa industri yang semakin beralih kepada teknologi mesra alam dan elektrifikasi.
“Namun kita tidak boleh mengabaikan arah tuju dunia sebenar. Elektrifikasi adalah sesuatu yang penting dan kita tidak boleh kelihatan ketinggalan,” jelasnya.
Sebelum ini, Ben Sulayem mencadangkan penggunaan enjin V8 dengan elemen elektrik minimum, sekali gus menandakan perubahan ketara berbanding unit kuasa hibrid V6 yang digunakan ketika ini.
Ben Sulayem turut menjelaskan bahawa komponen elektrik dalam enjin baharu itu akan dikurangkan secara signifikan bagi memberi tumpuan kepada prestasi enjin konvensional.
Perdebatan ini kini menjadi perhatian utama dunia F1, dengan keseimbangan antara nostalgia dan kemajuan teknologi menjadi faktor penentu hala tuju sukan tersebut pada masa depan. – AGENSI














