SEREMBAN – Tiada kerajaan minoriti di Negeri Sembilan susulan keputusan Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) yang diadakan semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri kekal berfungsi seperti biasa dan tidak timbul isu perubahan status pentadbiran.
“Tiada kerajaan minoriti. Kerajaan sedia ada masih berjalan. Kita teruskan kerja seperti biasa. Cuma pada hari kejadian (kerajaan minoriti) iyalah… itu pun belum ada keputusan dari kepimpinan parti,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Semalam, Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Aminuddin mengesahkan telah menerima saman pemula yang difailkan berhubung isu berkaitan institusi adat di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, perkara berkenaan telah diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
“Ya, kita sudah terima dan saya serahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE














