TUMPAT- Tiga pekerja kurier didenda RM1,800 manakala seorang lagi didenda RM1,900 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghisap rokok pada bulan Ramadan di kawasan gudang dan bangunan syarikat tersebut kira-kira dua bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Razif Mohd. Jali, 34, Muhamad Firdaus Husin, 28, Muhammad Aizam Baharom, 28, dan Mohamed Faiz Mat Isa, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di depan Hakim Dr. Wan Azimin Wan Adnan.
Mengikut pertuduhan yang dihadapi oleh Mohd. Razif dan Muhamad Firdaus, mereka didakwa menghisap rokok berisi tembakau di tepi bangunan sebuah syarikat kurier di Kampung Lambor, Wakaf Bharu di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 11 Mac lalu.
Muhammad Aizam dan Mohamed Faiz didakwa menghisap rokok berisi tembakau di tepi lorong sebuah gudang syarikat kurier di Kampung Pasir Puteh, Chabang Empat di sini kira-kira pukul 10.50 pagi pada 17 Mac lalu.
Keempat-empat tertuduh dituduh mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Negeri Kelantan iaitu tidak menghormati bulan Ramadan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan, Muhammad Aqeel Din Razman manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,800 terhadap Muhamad Firdaus, Muhammad Aizam dan Mohamed Faiz manakala Mohd. Razif pula didenda RM1,900 selain menetapkan penjara enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.
Keempat-empat tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE














