KUALA SELANGOR – Jenazah mangsa lemas, Allahyarham Khairil Izani Khaizalullinudin, 10, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam di sini, hari ini.
Pengebumian selesai kira-kira pukul 5.40 petang dalam suasana pilu yang dihadiri ratusan ahli keluarga, saudara-mara serta penduduk setempat.
Jenazah sebelum itu dituntut keluarga di Unit Forensik Hospital UiTM selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan identitinya.
Bapa mangsa, Khaizalullinudin Noordin, 45, bersyukur segala urusan pengebumian anak sulung daripada tiga beradik itu berjalan lancar.
“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus membantu dan memberi sokongan moral kepada kami sekeluarga sejak minggu lalu.
“Abe telah pergi buat selamanya dan Allah lebih menyayanginya. Selamat pulang ke alam abadi anakku,” katanya sebak ketika ditemui Kosmo!.
Tambahnya, keluarga turut mengadakan majlis tahlil arwah di surau kawasan kediaman mereka di Astana Alam 3, malam ini.
Allahyarham Khairil Izani hanyut dibawa arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang ketika dipercayai bermain bola ketika hujan lebat, kira-kira pukul 3 petang, 28 April lalu.
Mayat kanak-kanak lelaki yang berpakaian lengkap itu kemudian ditemukan bomba di tebing sungai Sungai Buloh, Ijok, kira-kira pukul 1 petang Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE














