PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, tekad meneruskan momentum positif apabila kembali ke litar ikonik Le Mans bagi mengharungi Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Grand Prix (GP) Perancis, hujung minggu ini.
Pelumba pasukan AEON Credit MT-Helmets-MSI itu kini menghuni tangga ke-15 keseluruhan dengan mengumpul 12 mata, selepas berjaya membawa pulang tiga mata berharga pada saingan GP Sepanyol di Jerez, baru-baru ini.
Litar Le Mans bukanlah litar asing buat pelumba kelahiran Terengganu itu memandangkan Hakim Danish pernah mencuri tumpuan dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBRC) musim lalu di litar yang sama.
Pengalaman tersebut dilihat sebagai suntikan keyakinan buat Hakim Danish untuk kembali mencabar kelompok hadapan, meskipun menyedari tahap persaingan dalam kelas Moto3 adalah jauh lebih sengit dan menuntut fokus yang lebih tinggi.
Oleh itu, Hakim Danish mahu menjadikan Sesi latihan bebas pertama (FP1) sebagai keutamaan untuk berusaha mencari rentak terbaik seawal mungkin bagi memastikan dia mampu mencabar pelumba terbaik dunia di Le Mans.
“Menjelang Pusingan 5 di Le Mans, ia adalah antara litar yang saya gemari. Saya mempunyai pengalaman beraksi di sini pada saingan Red Bull Rookies Cup tahun lalu, namun kali ini cabarannya berbeza dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
“Berbekalkan momentum positif daripada perlumbaan lalu, saya menyasarkan keputusan lebih baik pada pusingan ini. Saya perlu bermula garang sejak sesi latihan bebas pertama (FP1), cepat menyesuaikan diri dengan litar serta corak tunggangan dan kekal fokus sepanjang perlumbaan,” katanya.
Selain faktor teknikal, pelumba berusia 19 tahun itu juga perlu berwaspada dengan keadaan cuaca di Perancis yang sering tidak menentu, selain karakter litar Le Mans yang mencabar secara teknikal.














