PETALING JAYA– Kerajaan mempergiat operasi pembenihan awan bagi menangani kesan musim kemarau berpanjangan yang melanda beberapa kawasan di utara Kedah sehingga menjejaskan sektor pertanian dan pesawah padi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilaksanakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Situasi kemarau yang lebih panjang daripada biasa menyebabkan ladang dan sawah berdepan kesukaran, sekali gus menjejaskan hasil pertanian.
“Kita telah arahkan supaya operasi pembenihan awan ditingkatkan oleh TUDM dan turut dibantu bomba bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan secara berterusan dalam beberapa hari ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius keluhan pesawah yang terkesan dan berusaha mengambil langkah segera bagi mengurangkan impak cuaca kering terhadap sektor makanan negara.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan memperkukuh langkah intervensi termasuk bantuan kepada pesawah bagi memastikan kelangsungan pengeluaran padi tidak terjejas.
“Ini antara ikhtiar segera yang kita lakukan bagi membantu rakyat, khususnya golongan petani yang terkesan akibat perubahan cuaca,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE.














