ABU DHABI – Kementerian Pertahanan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyatakan bahawa sistem pertahanan udaranya memintas 12 peluru berpandu balistik, tiga misil kruz dan empat dron yang dilancarkan dari Iran semalam, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Emiriyah timur UAE, Fujairah juga berkata, dron Iran mencetuskan kebakaran di sebuah loji penapisan minyaknya.
Fujairah menempatkan terminal saluran paip yang digunakan oleh UAE untuk mengelakkan penghantaran sebahagian minyaknya melalui Selat Hormuz semasa perang Iran -Amerika Syarikat.
Kementerian Luar UAE berkata, serangan Iran itu menandakan peningkatan serius konflik dan menimbulkan ancaman langsung kepada keselamatan negara.
Justeru, UAE katanya, berhak sepenuhnya dan secara sah bertindak balas terhadap serangan tersebut.
Stesen televisyen kerajaan Iran bagaimanapun berkata, Tehran tidak mempunyai rancangan untuk menyasarkan UAE.
Sementara itu, sebuah kapal kargo terbakar di luar pantai UAE semalam, dengan pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom mengesahkan insiden tersebut.
Pihak berkuasa UAE turut mengeluarkan amaran menerusi telefon bimbit semalam yang memberitahu penduduk tentang ancaman peluru berpandu.
Amaran tersebut meminta orang awam segera mencari tempat selamat di bangunan keselamatan terdekat. – AGENSI














