KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian seniman tersohor tanah air, Abdul Jalil Abdul Hamid yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat industri kreatif negara.
Menurut beliau, Allahyarham merupakan figura seni yang banyak menyumbang kepada perkembangan dunia seni tempatan sepanjang hayatnya.
“Berdukacita atas pemergian Abdul Jalil Abdul Hamid, seorang seniman yang banyak menyumbang kepada dunia seni tanah air.
“Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat industri kreatif negara. Jasa dan legasinya akan terus dikenang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta mendoakan agar mereka diberi kekuatan dalam menghadapi detik sukar tersebut.
“Salam takziah buat seluruh keluarga besar Allahyarham. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang sukar ini,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pelakon dan penyanyi veteran, Jalil Hamid disahkan meninggal dunia dalam tidur selepas bertarung dengan masalah jantung.
Berita tersebut disahkan anak perempuannya, Afiqah Jalil yang mendapati ayahnya tidak sedarkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.- KOSMO! ONLINE














