PARIT BUNTAR – Pasar Sejahtera Rakyat Perak menjadi inisiatif payung subsidi bagi pembelian barangan keperluan harian sekali gus dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup mereka dalam persekitaran ekonomi yang sukar kini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembelian barangan kering dan basah dengan harga yang lebih murah daripada pasaran tersebut telaj ditampung subsidi oleh kerajaan negeri Perak.
“Ini adalah salah satu hasil daripada pelaksanaan Fasa 1 Langkah Mitigasi Impak Krisis Asia Barat Negeri Perak (April hingga Jun 2026) bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dalam pembelian barangan keperluan harian.
“Ini adalah program jualan murah sepanjang tahun yang disertai oleh pelbagai pihak termasuk pasar raya, pemborong, peruncit dan koperasi,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Pasar Sejahtera Rakyat Perak di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di sini.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, melalui program itu, rakyat dapat menikmati penjimatan harga barangan keperluan harian bermula lima peratus ke atas lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
“Sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat Perak sepanjang tahun ini,” katanya.
Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui Kosmo! berasa bersyukur, gembira dan mengucapkan terima kasih atas inisiatif kerajaan negeri yang prihatin dengan masalah rakyat masa kini.
Seorang suri rumah, Sariyatun Senawi, 32, berkata, dia yang mengetahui tentang program berkenaan beberapa hari lalu tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas di sini.
Dia dapat membeli barangan keperluan harian yang dijual di pasar tersebut pada harga lebih murah berbanding pembelian yang dilakukan di pasar raya.
“Saya beli ayam dan sepapan telur gred B pada harga RM7 sahaja iaitu 50 peratus lebih murah daripada harga biasa. Begitu juga dengan sayur, cukup murah dijual di program ini.
“Bagi suri rumah seperti saya, penjimatan sedemikian memang memberi kepuasan kerana ia membolehkan kami berjimat-cermat dan diharapkan program seperti ini dapat dilaksanakan setiap bulan,” jelasnya.
Seorang peminat nanas, Wong Pek Leng, 80, berkata, dia mengunjungi program berkenaan kerana mahu membeli buah tersebut yang dijual murah berbanding harga pasaran.
Katanya, buah tersebut akan dimakan bersama anak-anak dan cucu-cucunya di rumah kerana mereka amat menggemari buah berkenaan.
“Saya sendiri pun tanam nanas secara kecil-kecilan di rumah kerana suka buah itu.
“Di Pasar Sejahtera Rakyat Perak, saya boleh membelinya pada harga lebih murah antara 10 hingga 20 peratus daripada harga pasaran.
“Kalau di luar biasanya nanas dijual sekitar RM9 sekilogram tetapi di sini, saya boleh beli pada harga antara harga RM7 hingga RM7.50 sekilogram bergantung kepada saiz,” katanya. -KOSMO! ONLINE














