fbpx
Darul Nain.

Impian haji musnah, visa tidak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JEDDAH – Impian sekumpulan rakyat Malaysia yang sudah berihram haji bertukar tragedi terpaksa pulang selepas ditahan di lapangan terbang akibat menggunakan visa palsu.

Demikian pengalaman Pengarah Operasi Haji Jeddah, Darul Nain Abu Bakar dalam satu kejadian berlaku sekitar 2015 yang melibatkan 30 individu.

Katanya, perkara itu merupakan antara detik beliau yang tidak boleh dilupakan sepanjang beliau menyertai operasi haji meskipun pihak konsulat cuba membantu urusan visa kumpulan tersebut.

Menurut beliau, situasi itu amat memilukan kerana jemaah bukan sahaja gagal menunaikan haji malah menanggung kerugian kos yang besar.

“Nama dan gambar memang milik mereka, tetapi apabila disemak dalam sistem, visa itu bukan milik sebenar. Mereka tidak dibenarkan masuk ke Mekah dan akhirnya dihantar pulang. Lebih menyedihkan, ketika itu mereka sudah lengkap berihram dan bersedia menunaikan haji,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Darul Nain berkata, konsulat cuba berunding dengan pihak berkuasa Arab Saudi agar jemaah tidak ditempatkan dalam lokap, sebaliknya hanya ditahan di kawasan khas lapangan terbang sebelum dihantar pulang.

“Memang kita rasa nak bantu sebab mereka sudah sampai, tetapi peraturan di Arab Saudi sangat tegas. Tiada kompromi jika melibatkan dokumen tidak sah,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan visa tidak sah bukan sahaja memberi implikasi kewangan, malah boleh menjejaskan rekod individu dengan kerajaan Arab Saudi.

“Mereka merekodkan semua. Kalau disenarai hitam, memang tidak boleh masuk semula,” katanya.

Dalam pada itu, Darul Nain berkata, kawalan pihak berkuasa Arab Saudi semakin diperketatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini ketika musim haji ekoran kehadiran jutaan umat Islam.

“Arab Saudi sangat menitikberatkan aspek keselamatan, jadi sebarang kelonggaran boleh memberi kesan besar. Sebab itu sekarang pemeriksaan lebih ketat, bukan sahaja terhadap jemaah luar, malah penduduk tempatan sendiri turut diperiksa dengan teliti,” jelasnya.

Beliau justeru itu menasihatkan bakal jemaah supaya hanya menggunakan saluran sah seperti pakej yang diiktiraf bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan visa.

“Jangan ambil risiko. Jika melanggar peraturan haji, tindakan yang diambil memang tegas dan tidak boleh dirunding,” katanya.

Menyentuh tugas operasi haji di Jeddah, beliau berkata, pihaknya menjadi nadi penting dalam memastikan perjalanan jemaah ke Tanah Suci berjalan lancar.

Katanya, operasi tersebut merangkumi keseluruhan pergerakan jemaah sebaik sahaja meninggalkan Madinah sehingga tiba di penempatan masing-masing di Mekah termasuk pengurusan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN