JELEBU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jelebu, di sini petang semalam selepas lemas di Jeram Toi.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintendan Azizan Said berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kes tersebut dari seorang lelaki berusia 38 tahun yang merupakan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira pukul 5.44 petang.
“Anggota APM memaklumkan mangsa disyaki jatuh dan lemas di Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu. Berdasarkan laporan awal, mangsa bersama ahli keluarga telah pergi ke taman eko rimba berkenaan untuk berkelah.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian, mangsa bersama ibunya telah tergelincir jatuh dan ibu mangsa sempat menyelamatkan diri, manakala mangsa terus tenggelam ke dasar kolam buatan.
“Ibu mangsa memaklumkan mangsa tidak pandai berenang. Hasil bantuan pengunjung yang berada di tempat kejadian telah menjumpai mangsa di dasar kolam buatan,” katanya di sini malam tadi.
Ujar Azizan, mangsa kemudiannya telah di bawa ke Hopital Jelebu dan diberikan rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 2.58 petang.
Tambahnya, proses bedah siasat akan dibuat pukul 10 pagi ini bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). KOSMO! ONLINE














