PETALING JAYA – Bekerja dengan pasangan sememangnya mampu mengeratkan hubungan, namun dalam masa sama boleh menjadi punca konflik sekiranya gagal memisahkan urusan kerja dan peribadi.
Menerusi hantaran di laman Threads penyanyi yang juga usahawan, Mila Jirin berpendapat bekerja dengan pasangan sebenarnya lebih banyak merosakkan hubungan berbanding menyelamatkannya.
“Idea berlawanan, ego masuk, emosi cepat naik dan semua perkara menjadi peribadi. Yang berbahaya bukan pertengkaran di pejabat, tetapi apabila emosi itu dibawa pulang ke rumah,” katanya.
Dalam pada itu, dia berkongsi bahawa dirinya dan pasangan juga berdepan situasi sama, namun mereka menetapkan beberapa peraturan bagi mengelakkan konflik berpanjangan.
“Peraturan paling penting, jangan membawa masalah kerja ke rumah. Jika belum selesai, jangan tidur terlebih dahulu. Di pejabat, kami adalah rakan perniagaan. Di rumah, kami suami isteri. Jangan dicampur,” jelasnya.
Tambahnya, dia telah mendirikan rumah tangga selama 11 tahun dan bekerja bersama pasangan selama 19 tahun, sekali gus memberi pengalaman dalam mengurus konflik.
“Kami tidak sempurna, kami hanya belajar mengurus konflik,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan tersebut dan berkongsi pengalaman masing-masing.
Seorang pengguna, @Ndiantasha berkata, sukar untuk memisahkan emosi dan kerja apabila bekerja dengan pasangan sehingga perkara kecil boleh menjadi besar.
“Apabila bekerja dengan pasangan, sukar untuk memisahkan kerja dan perasaan sehingga perkara kecil boleh menjadi isu besar. Secara luaran kelihatan tenang, namun sebenarnya emosi memuncak,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Puan_mekar berkata, dia memilih untuk menyelesaikan semua urusan kerja di pejabat bagi mengelakkan konflik di rumah.
“Saya menyelesaikan semua urusan berkaitan kerja di pejabat dan tidak membawanya pulang ke rumah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














