PETALING JAYA – Persatuan Siam Malaysia (PSM) menegaskan bahawa Festival Rain Wave Water Music 2026 yang berlangsung di Bukit Bintang ketika ini adalah sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan perayaan Songkran.
Ini kerana kata Presidennya, Sam Maark Suvanphet, Songkran merupakan perayaan tahun baharu masyarakat Siam yang sarat dengan nilai budaya, kekeluargaan dan penghormatan, termasuk amalan memohon restu ibu bapa serta aktiviti keagamaan di wat.
Malah katanya, ia adalah warisan yang telah diamalkan turun-temurun oleh komuniti Siam di Malaysia dalam suasana penuh adab dan tertib.
“Sebaliknya, acara seperti festival muzik air yang dianjurkan di lokasi tertentu adalah sebuah program hiburan dan ekonomi yang tidak mempunyai kaitan dengan budaya atau agama masyarakat Siam.
“Penjelasan oleh YB Tiong King Sing, MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) juga telah memperjelaskan bahawa penganjuran festival tersebut bukanlah Songkran, sebaliknya sebuah acara muzik berkonsepkan air yang bertujuan merancakkan ekonomi setempat dan memberi ruang kepada masyarakat untuk beriadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius apabila kekeliruan ini telah membawa kepada pelbagai persepsi negatif, termasuk mengaitkan Songkran dengan isu-isu sosial yang tidak berasas.
Lebih membimbangkan katanya, perkara itu turut dipolitikkan sehingga mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Hakikatnya, sambutan Songkran oleh komuniti Siam di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan berlangsung dengan aman, teratur dan penuh nilai budaya, serta sentiasa mendapat penghormatan daripada masyarakat setempat tanpa sebarang kontroversi.
“Kami percaya bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya perlu terus dipelihara dengan semangat saling menghormati dan memahami.
“Sekiranya terdapat program yang dirasakan tidak bersesuaian dengan pegangan mana-mana pihak, maka pilihan untuk tidak menyertainya adalah hak masing-masing tanpa perlu menimbulkan kekeliruan terhadap budaya kaum lain,” katanya.
Justeru kata Maark Suvanphet, PSM menyeru agar semua pihak tidak menyamakan Perayaan Songkran dengan mana-mana acara hiburan yang tidak berkaitan, serta mengelakkan daripada menjadikan budaya sebagai bahan polemik politik.
“Songkran adalah warisan budaya kami, dan kami akan terus mempertahankan kefahaman yang betul agar ia kekal dihormati sebagai sebuah perayaan yang membawa nilai perpaduan, hormat dan keharmonian dalam masyarakat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














