fbpx
PESALAH menjalankan Perintah Khidmat Masyarakat dengan mencuci lantai medan selera di Taman Rekreasi Gunung Keriang, Alor Setar hari ini.

152 individu dikesan buang sampah di Bukit Bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Sebanyak 152 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan terhadap individu yang didapati membuang sampah kecil di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur sejak operasi penguatkuasaan dipergiat bermula 1 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 68 notis dikeluarkan sepanjang penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei lalu di kawasan tumpuan pelancong tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, operasi penguatkuasaan secara berfokus dilaksanakan bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terkawal sepanjang acara berlangsung.

Katanya, Bukit Bintang dipilih kerana kawasan itu merupakan ikon pelancongan dan pusat aktiviti metropolitan yang menerima kehadiran ribuan pengunjung tempatan serta antarabangsa setiap hari.

“Selain menggandakan operasi penguatkuasaan, kita turut melaksanakan sesi libat urus bersama peniaga dan buskers sebagai pendekatan pendidikan serta kesedaran awam.

“Tindakan ini mencerminkan pendekatan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara konsisten, tegas dan tanpa kompromi bagi memastikan kebersihan kawasan tumpuan awam terus terpelihara,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pelaksanaan Hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ke-8 di Taman Rekreasi Gunung Keriang, di sini hari ini.

Menurutnya, kaedah penguatkuasaan terbuka yang dilaksanakan SWCorp membolehkan orang ramai melihat sendiri tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil.

“Pendekatan itu bukan bertujuan mengaibkan pesalah, sebaliknya memberi pendidikan sosial kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan awam,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, PKM Siri Ke-8 dilaksanakan serentak di Kedah, Melaka, Pahang dan Johor melibatkan keseluruhan 55 pesalah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menurutnya, di Kedah seramai 24 pesalah termasuk penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi berusia antara 19 hingga 55 tahun menjalani kerja pembersihan di Taman Rekreasi Gunung Keriang dan Pantai Chenang, Langkawi.

Tambah beliau, sehingga kini sebanyak 6,000 NPK dikeluarkan di tujuh negeri melibatkan 4,347 warga tempatan dan 1,653 warga asing atas kesalahan membuang sampah kecil di bawah Akta 672.

“Kesalahan paling banyak dilakukan ialah membuang puntung rokok dan alasan biasa diberikan ialah tiada tong sampah sedangkan kemudahan itu disediakan di lokasi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN